(i) Kesan Ke Atas Kemiskinan
Di Indonesia, dengan penurunan KDNK pada 1998, kesannya ke atas kemiskinan hangat diperdebatkan. Pada Julai dan Ogos 1998, terdapat 3 set anggaran pada 1998 dan 1999 tentang masalah ini diterbitkan. Ini dilakukan oleh World Bank, Indonesian Central Board of Statistics, dan International Labour Organisation. Sebelum krisis ekonomi, sebanyak 10.1% penduduk berada di bawah garis kemiskinan. Namun setelah krisis melanda, perubahan KDNK sebanyak 12% pada 1998 menambahkan peratusan kemiskinan kepada 14.1% pada 1999 dan ini melibatkan sebanyak 29 juta penduduk (World Bank, 1998:32-3).
Kesan ini paling dirasai oleh kawasan bandar dan peratusannya lebih daripada kawasan luar bandar. Namun peningkatan dalam jumlah mutlak orang miskin adalah lebih tinggi daripada kawasan pedalaman terutamanya di kawasan yang dipengaruhi oleh fenomena El Nino. Kawasan ini termasuk East Nusatenggara, Irian Jaya dan East Timor di mana masalah kemiskinan adalah jauh lebih tinggi daripada purata kebangsaan.
Kajian implikasi krisis ekonomi ke atas kemiskinan ini pada 1998 menegaskan bahawa kebanyakan peningkatan jumlah di bawah garis kemiskinan di Indonesia disebabkan oleh kesan inflasi (Lee 1998: Jadual 2.5; lihat juga Ahmed 1999).
Peningkatan kadar kemiskinan menyebabkan berjuta-juta rakyat Indonesia hidup dalam keadaan yang penuh sengsara. Keperluan asas mereka tidak dapat dipenuhi secara memuaskan. Jurang kekayaan dan pengagihan pendapatan antara sebilangan golongan kaya dengan kebanyakan golongan miskin menjadi semakin menonjol berikutan krisis ekonomi ini. Akibat rasa tidak puas hati dengan kemewahan yang dikecapi oleh golongan kaya, maka golongan miskin menjalankan pemberontakan secara besar-besaran di kawasan bandar. Mereka membakar rumah-rumah kedai orang kaya dan merosakkan harta awam sewenang-wenangnya. Pemberontakan ini menyebabkan masyarakat hidup dalam suasana yang penuh bahaya dan ketakutan.
Ada pula terjadi kes-kes di mana kaum perempuan (kebanyakan golongan remaja belasan tahun) dari golongan kaya dirogol secara terang-terangan oleh kumpulan pemberontak ini. Mereka dirogol, diseksa, ada pula dibakar dan akhirnya dibunuh untuk melepaskan geram mereka. Fenomena ini telah mendapat liputan dan perhatian yang meluas di arena antarabangsa. Banyak pihak menyalurkan simpati ke atas nasib kaum perempuan yang menjadi mangsa rogol dan pembunuhan.
(ii) Kesan Ke Atas Gunatenaga
Impak negatif krisis ke atas output menyebabkan masalah gunatenaga turut berubah. Lee (1998:37-8) telah menegaskan beberapa isu utama. Pertama, pada pertengahan 1990-an, penggunaan buruh adalah berbeza antara Indonesia dan Malaysia. Kadaran gunatenaga buruh dalam pertanian adalah lebih daripada 40% di Indonesia. Nilai perbandingan Indonesia dengan Malaysia hanyalah 29% (Lee 1998: Rajah 2.1).
Kedua, di Indonesia, masalah pengangguran ini lebih dititikberatkan berikutan krisis ekonomi. Pengangguran terbuka adalah terutamanya tinggi di kalangan orang muda, pencari kerja kali pertama yang berpendidikan tinggi dan ini menimbulkan persoalan sama ada mereka gagal mencari kerja atau terlalu memilih kerja yang akan mereka terima (Manning dan Junankar, 1998). Berbanding data sebelum dan selepas krisis ekonomi di Indonesia, terdapat peningkatan dalam pengangguran di kawasan bandar dan bagi lelaki di kawasan luar bandar (Booth 1999c: Jadual 4).
Dari kajian Labour Force Survey, kadar pengangguran secara amnya meningkat dari 4.7% ke 5.5%. Pengangguran bandar meningkat dari 8% ke 9.3% dan luar bandar dari 2.8% ke 3.3% (Manning 1999: Jadual 6). Kajian juga menunjukkan bahawa graduan dari universiti yang berkualiti terutamanya mereka yang berkelayakan sains dan teknikal tidaklah begitu sukar mendapatkan pekerjaan berbanding mereka dari universiti kurang berkualiti dalam bidang undang-undang, kemanusiaan atau sains sosial. Wanita muda pula menghadapi kesukaran yang lebih mendapatkan pekerjaan berbanding dengan lelaki.
(iii)Kesan Ke Atas Pendidikan dan Kesihatan
Banyak pihak menyalurkan perhatian yang serius ke atas kesihatan rakyat dan persekolahan lanjutan krisis ekonomi ini. Krisis ini mengakibatkan penurunan dalam pendapatan isirumah benar dan kadar penglibatan anak-anak mereka dalam persekolahan bagi menampung segala yuran persekolahan yang lain. Dengan pendapatan yang berkurangan, rakyat kurang menikmati penggunaan kemudahan kerajaan dan swasta dan ini menurunkan standard kesihatan rakyat. Kanak-kanak mengalami kekurangan dari segi penjagaan kesihatan asas.
Kementerian Pendidikan Indonesia dilaporkan membuat kenyataan bahawa lebih daripada 5 juta pelajar meninggalkan persekolahan setiap tahun walaupun jumlah yang disebabkan oleh faktor krisis ekonomi sahaja tidaklah jelas diketahui (Straits Times, 23 Februari 1999). Kadar ini bagaimanapun telah pun menjadi serius sebelum krisis ini pada Julai 1997. Kajian Rand mendapati bahawa peninggalan sekolah ini meningkat dengan signifikan antara 1997 dan 1998, dan perubahan tersebut lebih jelas di kawasan bandar, dan ia lebih menonjol bagi isirumah yang lebih miskin (Frankenberg, Thomas dan Beegle 1999:16). Di kawasan bandar, peratusan pelajar berumur 13 hingga 19 tahun yang meninggalkan sekolah meningkat dari 33% ke 38% dalam jangka masa tersebut. Analisis oleh Oey-Gardiner (1999) mendapati bahawa penglibatan sekolah rendah dan menengah adalah agak seimbang.
Bagi aspek kesihatan pula, terdapat bukti bahawa kadar penggunaan kemudahan awam menurun terutamanya bagi kanak-kanak (Frankenberg, Thomas dan Beegle 1999:17-18). Namun krisis tersebut memberi peluang supaya peningkatan kemudahan kesihatan awam dilakukan. Memandangkan bahawa kebanyakan rakyat sekarang tidak berupaya membeli ubat berjenama yang mahal dan meminta supaya kemudahan kesihatan awam menyediakan jenama yang lebih am. Jadi, kerajaan mengalami tekanan yang lebih untuk melaksanakannya (Heller 1999).
Har Wai Mun, et al @ 2000
Created:2000
|