(i) Kesan Ke Atas Kemiskinan
Di Malaysia pula, kerajaan mengumumkan bahawa masalah kemiskinan (headcount measure) meningkat pada tahun 1998 sebagai kesan peningkatan pengangguran dan inflasi. Pada 1998, sejumlah 7.6% populasi (termasuk bukan warganegara) berada di bawah garis kemiskinan rasmi berbanding 6.8% pada 1997. Jumlah isirumah miskin meningkat dari 346,000 pada 1997 kepada 394,000 pada 1998. Kerajaan mempersoalkan bahawa "majoriti isirumah miskin baru adalah dari kawasan bandar di mana kesan retrenchment, pengangguran dan inflasi adalah lebih menonjol" (Kerajaan Malaysia, 1999:64). Sumber yang sama mempersoalkan bahawa ketidakseimbangan pendapatan keseluruhan meningkat sedikit pada 1998 kerana kesan krisis ekonomi adalah lebih besar ke atas pendapatan orang bandar berbanding pendapatan orang luar bandar.
Masalah kemiskinan ini bertambah serius dengan kenaikan harga barangan dalam negeri. Ia berlaklu akibat kenaikan kos import barang perantaraan. Kenaikan harga pengguna ini seterusnya menyebabkan kejatuhan pendapatan isirumah dan upah sebenar. Pengguna yang menjangkakan pendapatan yang rendah ini akan menangguh niat mereka untuk membeli rumah, kereta dan barangan lain yang tinggi harganya.
Kajian implikasi krisis ekonomi ke atas kemiskinan ini pada 1998 menegaskan bahawa kebanyakan peningkatan jumlah di bawah garis kemiskinan di Malaysia disebabkan oleh peningkatan pengangguran dan merupakan faktor utama masalah ini (Lee 1998: Jadual 2.5; lihat juga Ahmed 1999).
(ii) Kesan Ke Atas Gunatenaga
Kesan negatif krisis ke atas output menyebabkan masalah gunatenaga turut berubah. Lee (1998:37-8) telah menegaskan beberapa isu utama. Pertama, pada pertengahan 1990-an, penggunaan buruh adalah berbeza antara Malaysia dan Indonesia. Di Malaysia, lebih 70% gunatenga buruh adalah pekerja. Nilai perbandingan Malaysia dengan Indonesia adalah 29% (Lee 1998: Rajah 2.1).
Kedua, ia berkenaan penambahan pengangguran berikutan krisis itu. Pada pertengahan 1990-an, pengangguran terbuka di Malaysia adalah sangat rendah dan terdapat kekurangan buruh secara meluasnya dalam ekonomi. Berikutan krisis ekonomi, kerajaan telah mengurangkan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan sebanyak 2%, menangguhkan pelaksanaan projek besar dan mengkaji semula pembelian barangan luar negara oleh agensi awam. Tindakan ini menyebabkan ramai orang menganggur dan ini termasuk projek besar Bakun di Sarawak yang dihentikan pelaksanaannya. Peluang pekerjaan semakin berkurangan. Banyak kilang-kilang kecil terpaksa ditutup kerana tidak berupaya meneruskan urusniaga. Malah, sejumlah besar pekerja-pekerja bank turut diberhentikan perkhidmatan mereka kerana bank tidak berupaya menampung kos upah yang dianggap sebagai beban semasa krisis melanda. Pengangguran meningkat dari 229.7 ribu orang (2.7%) pada 1997 kepada 564.2 ribu orang (6.4%) pada 1998.
Dalam aspek yang lain pula, banyak pekerjaan terutamanya buruh murah tidak mahir mula dilakukan oleh pekerja-pekerja asing dan kerajaan membutakan mata kepada sejumlah pekerja-pekerja tanpa izin (sekitar 800,000 orang) dari negara-negara jiran. Kebanyakan pekerjaan baru diwujudkan oleh sektor pembuatan, pembinaan, perniagaan runcit dan perkhidmatan lain di kawasan kawasan bandar atau separa bandar. Bagi Malaysia, pengangguran terbuka juga dilaporkan telah bertambah. Berdasarkan nilai rasmi, ia mencecah 5.2% pada 1998 (Lee 1998: Jadual 2.2).
(iii) Kesan Ke Atas Pendidikan Dan Kesihatan
Penekanan dan kebimbangan turut disalurkan ke atas kesihatan rakyat dan persekolahan berikutan krisis ekonomi ini. Kebanyakan keluarga yang menghadapi penurunan dalam pendapatan isirumah benar akan mengurangkan penyertaan anak-anak mereka dari bidang akademik. Pada masa yang sama, dengan pendapatan yang berkurangan, mereka turut mengurangkan penggunaan kemudahan kerajaan dan swasta dan ini menurunkan standard kesihatan rakyat.
Bagi kes Malaysia, pendidikan dan kesihatan juga menerima kesannya yang tersendiri. Pada awal 1990-an, perbelanjaan kerajaan ke atas pendidikan melebihi 4% dari KDNK (Booth 1999d: Jadual 6). Cabaran terbesar kerajaan ialah untuk mengekalkan ataupun meningkatkan tahap perbelanjaan ini untuk melaksanakan polisi seperti yang telah dicadangkan berikutan krisis ini. Akibat krisis ekonomi, kerajaan telah menarik balik banyak program tajaan pendidikan ke luar negeri dan menempatkan mereka di universiti-universiti tempatan. Antara program yang dimansuhkan ialah program TESL berkembar dengan United Kingdom dan New Zealand. Beberapa program profesional seperti perubatan, undang-undang di luar negeri turut dikurangkan untuk menjimatkan kos.
Bagi pelajar-pelajar kolej (golongan keluarga berpendapatan sederhana) twinning-program, mereka tidak dapat melanjutkan pelajaran di luar negeri akibat kesempitan kewangan. Kadar pertukaran ringgit Malaysia dengan nilai mata wang luar negara meningkat dengan tinggi dan ini menyebabkan pelajaran mereka sampai separuh jalan kerana tidak mampu membayar yuran yang begitu tinggi. Biasiawa kerajaan dan swasta turut semakin kecil jumlahnya seperti PTPTN, JPA, yayasan negeri dan lain-lain
Har Wai Mun, et al @ 2000
Created:2000
|