home | Ekonomi | Sosial | Politik | Pautan berkaitan |  




Ekonomi Malaysia:  
 Langkah/polisi  
 Keberkesanan  
Ekonomi Indonesia:  
 Kesan krisis  
 Langkah/Polisi  
 Keberkesanan  
   





















 
Kesan Ekonomi Malaysia
Kesan Krisis Ekonomi Malaysia


Krisis kewangan yang mula-mula melanda di Negara Thai turut dirasai oleh Malaysia pada kemudiannya. Ketidakstabilan dalam kadar pertukaran asing telah menyebabkan negara-negara yang tidak mempunyai rizab asing yang kukuh tidak mampu mempertahankan nilai matawang mereka dalam pasaran spekulasi. Pada 2 Julai 1997, kerajaan Thai membiarkan nilai Baht merosot dan begitu juga dengan kerajaan Indonesia yang mengumumkan kejatuhan nilai Rupiah yang mendadak pada 11 Julai 1997.


Pada permulaan krisis ini, Malaysia cuba mengekalkan nilai ringgit terhadap matawang asing. Bagaimanapun, langkah ini tidak kekal lama memandangkan ia melibatkan kos yang tinggi. Di antara tempon 14 Julai 1997 hingga 7 Januari 1998, nilai ringgit telah jatuh dari RM2.50 terhadap US$1 kepada RM4.88 terhadap US$1. Tahun 1998 memperlihatkan kesan krisis ke atas ekonomi Malaysia. Pertumbuhan KDNK merosot dari sekitar 7 peratus pada tahun 1997 kepada sekitar negatif 7 peratus pada tahun 1998. Ekonomi negara berada dalam kedudukan yang lemah memandangkan sektor korporat mengalami kesukaran dalam mendapatkan kredit dan pada masa yang sama mengalami peningkatan hutang yang semakin tinggi.

Pengeluaran ouput adalah rendah di semua sektor yang utama dan perbelanjaan pengguna juga adalah lemah. Projek infrastruktur yang besar yang berjumlah lebih daripada RM60 billion seperti Bakun hydro-electric dam, Northern Region International Airport, Highland Highway dan Kuala Lumpur Linear City terpaksa ditangguhkan. Di bawah pengukuran belanjawan yang ketat, menteri-menteri dan pegawai kerajaan menghadapi potongan gaji.

Dari segi Imbangan Pembayaran, kejatuhan nilai Ringgit meningkatkan jumlah eksport dan mengurangkan jumlah import. Secara tidak langsungnya, ia mengurangkan saiz defisit dalam akaun semasa. Bagi sesetengah produk seperti minyak petroleum yang diniagakan dalam nilai US dollar, kita menampakkan satu peningkatan yang mendadak dalam hasil pendapatan negara dalam nilai Ringgit. Sebahagian besar daripada barangan eksport Malaysia terdiri daripada barang industri dan ia telah menyumbang kepada 80 peratus daripada jumlah eksport negara. Bagaimanapun, faedah yang dinikmati daripada barangan eksport ini adalah terhad walaupun nilai Ringgit adalah rendah. Skel pengeluaran yang sederhana menyebabkan banyak firma tidak sempat mengambil kesempatan yang sedia ada untuk meningkatkan outputnya dan dieksport walaupun mereka telah beroperasi pada tahap yang sepenuhnya.

Kebanyakan pengimport asing menghendaki pengeluar tempatan memberikan diskaun atas barangan yang diimport oleh mereka. Jadi, ini mengakibatkan kejatuhan dalam nilai barangan eksport negara Malaysia. Tambahan pula, disebabkan kos ke atas barangan import telah meningkat dan sebahagian daripada barangan import ini merupakan barangan pertengahan untuk dijadikan barangan eksport, keadaan ini telah mengurangkan keuntungan pengeluar Malaysia. Kenaikan harga dalam barangan import turut meningkatkan harga barangan pengguna secara keseluruhan. Kesannya, pendapatan isirumah berkurangan dan ini menurunkan kuasa membeli penduduk Malaysia.

Ekonomi terlampau bergantung kepada sistem perbankan untuk mendapat dana. Dalam sektor perbankan, walaupun berlakunya penurunan dalam pertumbuhan deposit, namun aktiviti pinjaman masih diteruskan. Ini menyebabkan risiko sistematik tinggi dan berlaku funding mismatch kesan daripada fenomena lend long (pinjaman jangka panjang) serta borrow short (deposit jangka pendek) oleh bank. Pada September 1997, sektor perbankan dikatakan mengalami liabititi eksternal sebanyak RM6 billion.

Kejatuhan dalam pasaran stok dan matawang menyebabkan pelabur asing kehilangan keyakinan untuk melaburkan modal di Malaysia. Malahan pelabur-pelabur yang sedia ada telah membawa keluar duit Ringgit untuk disimpan di bank-bank luar. Dalam keadaan yang kekurangan sumber untuk memberikan pinjaman kepada pihak awam, kadar bunga terpaksa ditolak ke tahap yang tinngi. Bank Negara cuba mengelakkan kenaikan kadar bunga dengan menurunkan syarat nisbah rizab dan pada masa yang sama, mencurahkan sebahagian daripada rizab wang ke dalam pasaran wang domestik. Secara tidak langsungnya, dikatakan usaha kerajaan dalam mempertahankan kenaikan kadar bunga telah menyebabkan sistem perbankan meningkatkan pergantungannya ke atas pinjaman asing jangka pendek. Walaupun kerajaan mengatakan hutang luar Malaysia adalah antara yang terendah di negara Asia yang dilanda krisis kewangan, namun, harus diingat bahawa hutang dalaman Malaysia pula adalah antara yang tertinggi di rantau Asia.


home | Ekonomi | Sosial | Politik | Pautan berkaitan |  

Har Wai Mun, et al @ 2000
Created:2000