home | Ekonomi | Sosial |Politik | Pautan berkaitan |  




Sosial Malaysia:  
 Kesan Krisis  
 Langkah/Polisi  
Sosial Indonesia:  
 Kesan krisis  
 Langkah/Polisi  
 Keberkesanan  
   


















 
Keberkesanan Pemulihan Sosial Malaysia
Keberkesanan Polisi


Dari langkah pemulihan yang dilaksanakan oleh kerajaan, aspek kebajikan dan sosial rakyat meningkat secara amnya walaupun tidak ketara. Kerajaan sememangnya masih dapat mengadakan keperluan rakyat dengan memastikan bidang-bidang seperti pendidikan, kesihatan, pembangunan desa dan bantuan kepada golongan-golongan miskin tidak diabaikan. Malah peruntukan kewangan bagi keperluan mereka ini ditambah (Ucapan Belanjawan 1999, 23/10/1998).

Berbanding tahun 1997, permintaan agregat dalam negeri benar (tidak termasuk stok) meningkat sebanyak 4.3% lanjutan tindakbalas dan keberkesanan yang positif terhadap langkah-langkah yang dilaksanakan untuk merangsang aktiviti ekonomi tempatan. Ini mencerminkan rakyat mempunyai taraf mampu diri yang lebih tinggi dan kadar kemiskinan dapat dikurangkan.

Institusi-instiusi awam tempatan menyambut baik saranan pendidikan berbentuk francais dengan kolej-kolej swasta. Banyak program usahasama telah dibentuk dalam bidang sains atau sastera. Universiti-universiti awam seperti UM, UKM, USM, UPM mula memperbanyak program-program pendidikan seumpama itu. Ini menyebabkan peluang pendidikan bertambah luas dengan kos yang bersesuaian selaras dengan permintaan yang semakin tinggi.

Walaupun krisis ekonomi berterusan, kesatuan-kesatuan sekerja memahami keadaan yang dihadapi oleh negara dan bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam menangani segala rintangan terhadap usaha memulihkan ekonomi. Pekerja-pekerja tidak membuat tuntutan-tuntutan yang keterlaluan (upah yang tinggi) sungguhpun terpaksa menghadapi kesulitan dalam kehidupan harian (Ucapan Belanjawan 1999).

Dalam pasaran buruh pula, syarikat-syarikat diberi kuasa meneruskan pelarasan upah berdasarkan keadaan ekonomi dan tahap produktiviti, pengenalan struktur levi yang baru serta pembekuan pengambilan buruh asing. Program latihan semula sebanyak RM 5 juta bagi pekerja-pekerja yang diberhentikan telah diwujudkan pada bulan Mei 1998. Menjelang akhir tahun, keadaan pasaran lebih menggalakkan sebagaimana ditunjukkan oleh pertumbuhan yang lebih perlahan bagi pemberhentian pekerja dan berkurangnya bilangan mereka yang mencari kerja (Laporan Tahunan 1998, 31/3/1999). Pemulihan ekonomi menjana peluang pekerjaan dan gunatenaga baru serta menyumbang kepada kestabilan dalam keadaan pasaran buruh dalam negeri. Prospek kepada inflasi tolakan upah adalah tidak dijangka berlaku pada 1999.


home | Ekonomi | Sosial | Politik | Pautan berkaitan |  

Har Wai Mun, et al @ 2000
Created:2000