home | Ekonomi | Sosial | Politik | Pautan berkaitan |  




Ekonomi Malaysia:  
 Kesan Krisis  
 Langkah/Polisi  
Ekonomi Indonesia:  
 Kesan krisis  
 Langkah/Polisi  
 Keberkesanan  
   






















 
Keberkesanan Pemulihan Ekonomi Malaysia
Keberkesanan Dasar Kerajaan Malaysia


Setelah rantau Asia dilanda krisis kewangan dengan teruknya, pelbagai langkah pemulihan telah dilaksanakan untuk merangsangkan semula aktiviti ekonomi negara masing-masing. Menurut Prof. Fabrizio Onida, salah seorang pakar ahli ekonomi antarabangsa dan selaku pengerusi kepada Italian Institute for Foreign Trade, beliau berkata bahawa sehingga Jun 1999, Malaysia bersama-sama dengan Korea Selatan dan Negara Thai merupakan antara negara yang paling cepat keluar dari perangkap krisis ekonomi. Malahan tempoh pemulihan bagi kes Malaysia adalah lebih cepat daripada yang dijangkakan. Walaupun kadar pertumbuhan tidak lagi mencapai tahap 8 peratus seperti dahulu, namun pencapaian di sekitar 4 hingga 6 peratus sudah merupakan satu kejayaan yang besar. Antara sebab yang menyebabkan ekonomi Malaysia pulih dengan cepat ialah terdapatnya bahan asas yang mencukupi untuk menampung pertumbuhan ekonomi. Bahan asas ini termasuk :


1. kadar tabungan yang tinggi

2. usaha kerajaan dalam menyediakan satu suasana yang sesuai untuk pelaburan dan pertumbuhan perniagaan baru, contohnya pembangunan kemudahan infrastruktur dan cutting of bureaucratic red tape

3. guna tenaga yang berkualiti tinggi yang telah membuka jalan kepada penyesuian yang cepat terhadap sebarang perubahan isu dan teknologi semasa.

4. tingkatnya integrasi di rantau Asia yang membawa kepada pembaikan dari segi perdagangan dan pelaburan intra kawasan

Kesemua elemen ini berjaya menumpukan perhatian terhadap potensi dalam meningkatkan produktiviti, inovasi, perubahan produk campuran dan mutu perkhidmatan.


Implimentasi kawalan kapita telah membawa kepada kestabilan dan keyakinan dalam pasaran kewangan. Di bawah rangsangan dasar fiskal, tersedianya program pengembangan belanjawan 1999 yang menyeluruh. Begitu juga dengan dasar kewangan yang turut menyumbangkan usaha dalam pelaksanaan projek sektor awam telah berjaya meningkatkan permintaan domestik dan perbelanjaan sektor swasta. Penyusunan semula dalam sistem perbankan yang membolehkan sektor perbankan menjalankan fungsi urusniaga dengan lebih berkesan turut membantu dalam pemulihan ekonomi Malaysia.

Sehingga kini, pelaksanaan kawalan kapita telah memasuki tahun kedua. Kita pun mulai melihat usaha kerajaan dalam melonggarkan pelaksanaan dasar tersebut. Kini, pelabur asing dibenarkan mengambil balik wang mereka. Kerajaan cuma mengenakan cukai 10 peratus terhadap keuntungan pelaburan serta mengekalkan kadar pertukaran matawang RM3.80 terhadap US$1. Memang tidak dapat dinafikan bahawa tindakan Perdana Menteri ini berjaya mematah-balikkan ekonomi Malaysia daripada keadaan yang kritikal kepada keadaan yang stabil. Penurunan nilai matawang telah memanfaatkan eksport barangan tempatan. Barangan import menjadi semakin mahal. Peluang pekerjaan turut meningkat ekoran daripada aktiviti eksport yang semakin banyak Dalam jangka pendek, langkah ini berjaya memperbaiki kedudukan imbangan pembayaran.

Namun, dalam jangka panjang, pelaksanaan kawalan kapita ini tidak lagi sesuai dipraktikkan memandangkan ia akan mendatangkan kesan yang negatif. Dalam pertengahan tahun 2000 yang pertama ini, pelaburan langsung asing telah berkurangan sebanyak 72 peratus. Antara sebabnya ialah pelabur asing hilang keyakinan terhadap pelaksanaan kawalan kapita. Pada satu ketika, modal mereka terikat di Malaysia selama satu tahun. Oleh itu, mereka khuatir akan berlakunya satu lagi dasar kawalan yang secara mendadak. Tambahan pula, mereka mengambil pendirian lebih berhati-hati selagi dasar kawalan kapita tidak dihapuskan. Sekirannya pelaburan dibuat pada masa kini dengan nilai RM3.80 terhadap US$1, dan kemudian kerajaan Malaysia menghapuskan kawalan kapita dengan membiarkan nilai matawang meningkat, maka palabur asing akan mengalami kerugian yang besar daripada kadar pertukaran matawang.

Dari segi penggabungan bank, ia bukan sahaja untuk menyelesaikan kelemahan yang terdapat pada sektor kewangan negara, tetapi turut bertujuan untuk menghadapi cabaran globalisasi. Melalui program penggabungan, diharapkan kumpulan bank ini dapat membentuk satu pusat sistem perbankan yang kukuh. Penggabungan bank memperlihatkan kecanggihan teknologi yang ada untuk menyediakan satu sistem rangkaian yang luas untuk pengurusan transaksi harian, penghantaran maklumat antara cawangan bank, dan perekodan maklumat pelanggan. Dengan erti kata lain, penggabungan bank mempamerkan perkhidmatan urusniaga yang paling cekap dan efisien. Di Malaysia, keadaan penggabungan bank adalah tidak seperti yang diharapkan. Peruntukan perbelanjaan untuk teknologi dalam sektor perbankan masih terhad jika dibandingkan dengan negara barat. Walaupun kini hanya tinggal 10 buah bank dan persaingan adalah terbuka, namun perjalanan urusniaga bank-bank tersebut masih tidak mencapai tahap yang memuaskan.


home | Ekonomi | Sosial | Politik | Pautan berkaitan |  

Har Wai Mun, et al @ 2000
Created:2000